Ucapan Bajet 2012 oleh #DS1M
“DASAR
TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”
Tuan
Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk
“Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan
untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya
mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia
Bismillahirrahmanirrahim.
Tuan
Yang di-Pertua,
Seperti
berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci bahawa Allah SWT
menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan dalam suasana
ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan sebagai orang-orang
budiman dan berbakti.
Seperti
firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:
“Maka
hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang telah
memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka
dari ketakutan.”
1.
Alhamdulillah, dipanjatkan sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala
nikmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara
yang menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit
untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.
2.
Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat,
kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian berpendapatan
rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas
dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan rakyat yang telah bersama
memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan dogma dengan bertunjangkan
perancangan sistematik dan pelaksanaan berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada
negara yang mempunyai kerajaan bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang
bukan menjanjikan bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini
adalah sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan
melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan kesejahteraan negara.
Tuan
Yang di-Pertua,
3.
Kisah kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu
keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang mempunyai
lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal merdeka, namun,
mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun mengendong sarat hasil
bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor garis rekahan yang berpotensi
memusnah, seperti, kemajmukan kompleks, perbezaan sosioekonomi yang terikat
dengan faktor etnik sekalipun pemisahan fizikal wilayah negara.
4.
Jelas termaktub dalam sisir masa, cerita kejayaan pembangunan Malaysia bukan
semata-mata kisah yang dilakar di bilik-bilik Lembaga Pengarah
bangunan-bangunan pencakar langit. Ia adalah citra yang dinukil pak tani di
sawah, nelayan di laut, peneroka di ladang, penoreh getah di estet, penanam
sayur di pinggir bandar, pekerja industri di kilang-kilang, usahawan-usahawan
bertatih di juang niaga, barisan penjawat awam, guru dan pendidik di
bilik-bilik darjah, para pensyarah di kuliah, anggota keselamatan di
medan-medan, para profesional, budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi.
5.
Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang yang
masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara 1971 hingga 1990,
Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan
Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap
untuk menyambung langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi.
6.
Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini dengan
menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi
Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12
NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi
Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan
Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi yang
berfungsi. Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya,
Kerajaan akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral.
Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar
Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011
sehinggalah 2020.
Tuan
Yang di-Pertua,
7.
Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend
yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang 6 kali ganda kepada
29 bilion ringgit pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia.
Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada 21.2 bilion
ringgit dalam tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding 12.1 bilion ringgit bagi
tempoh yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka
berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan
langsung asing dan domestik.
8.
Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara terus
teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi
paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab antarabangsa terus
kukuh mencatat 414.5 bilion ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5
bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan
per kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011
berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010.
9.
Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana,
tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak, pertumbuhan
ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat 4.4 peratus.
Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap.
Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh
penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan
ekonomi bagi tahun 2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
10.
Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung
Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4
peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan kelembapan
ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan
harga komoditi, krisis hutang negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih
perlahan. Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas
ekonomi Malaysia.
11.
Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi merancakkan aktiviti
ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta penggunaan
swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9 peratus dan 7
peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek
ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia ke-10
(RMKe-10). Penggunaan swasta di unjur meningkat 7.1 peratus berikutan
peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif.
Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus
manakala sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi
negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN
BAJET 2012
Tuan
Yang di-Pertua,
12.
Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi melaksanakan
semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah
RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion ringgit adalah bagi peruntukan
perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
13.
Di bawah peruntukan mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 30.5
bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 96.5 bilion
ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1
bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit
untuk perbelanjaan lain.
14.
Bagi peruntukan pembangunan pula, 29.8 bilion ringgit disediakan bagi sektor
ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian
dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 13.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor
sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta
pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2
bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
15.
Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya
dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit, berbanding 183.4
bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan,
defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada
4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
16.
Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus
dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan
pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas
dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti
berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang
produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini,
beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk
pembinaan blok baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf
infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk
perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat
dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini
berjumlah 6 bilion ringgit akan dilaksanakan.
FOKUS
BAJET 2012
Tuan
Yang di-Pertua,
17.
Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan “DASAR
TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA” dengan
memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS
PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18.
Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi
negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di bawah RMKe-10,
Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun
2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa
pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar
perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian;
perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta
perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti
asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19.
Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua bagi
Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion ringgit, 49.2
bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit lagi bagi tahun 2013.
Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi
dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu, untuk
mempastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat,
pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta
ringgit ke atas.
20.
Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
•
Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
•
Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat
Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya Central Spine
serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
•
Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak
20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia
berperanan sebagai tipping point bagi membantu sektor swasta membangunkan
projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, 18
bilion ringgit untuk kegunaan projek berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit
untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan
memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300 juta
ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.
22.
Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk
merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan
dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa
Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara;
projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan
kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air
Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Tuan
Yang di-Pertua,
23.
Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran modal, usaha
berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan yang
lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan penubuhan Pusat
Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia sebagai pusat
kewangan berdaya saing di rantau ini. Bagi menarik syarikat multinasional
memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan
Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama:
Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;
Kedua:
Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga:
Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian
perkhidmatan.
Tuan
Yang di-Pertua,
24.
Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat
Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang
menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama:
Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan
pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian
perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua:
Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus
KLIFD Marquee; dan
Ketiga:
Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju
hartanah di KLIFD.
25.
Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak sedekad
lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan berbanding 6.9
peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11 peratus kepada
jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam dan takaful
terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
26.
Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar di dunia
mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga menjadi
perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun ini, kita
berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia bernilai dua bilion
dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali ganda. Hakikat ini menjadi
bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan penerimaan
dunia terhadap produk kewangan Islam terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi
terus menggalakkan penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan
cukai diberi bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk
wakala mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke
atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama tiga
tahun sehingga taksiran 2014.
27.
Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk
kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008
telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan
beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan
spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang
pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk
ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana
permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi
pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit.
Tuan
Yang di-Pertua,
28.
InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures
Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk
menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH
akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping
meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun,
hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham
oleh Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan
menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum
penyenaraian dilakukan.
Tuan
Yang di-Pertua,
29.
Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi menarik
pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai konsesi 10
peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur individu
dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi terus
menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai
dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2016.
30.
Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31
peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus
daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada
pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua
bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan
pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada
kadar keuntungan pembiayaan.
31.
Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan
oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti
kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan
gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan
akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini
menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan
peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan
oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32.
Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10
juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan
dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi
semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada
PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF.
Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk
menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan
membaik pulih premis.
33.
Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat
tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong
pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi francais yang
ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat
francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan
lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.
34.
Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan
negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang
francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta elektrik.
Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.
35.
Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik seramai
25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit. Bagi terus
menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik khususnya
Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan
Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan 420 juta ringgit.
Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan
Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai
dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
36.
Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih banyak
kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi
menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan hotel
terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur dalam hotel
baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia diberi galakan
Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau
Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai
yang serupa telah diberi kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di
samping itu, Kerajaan akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council
bagi membangun dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan
kesihatan di rantau ini.
37.
Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap RPGT yang
rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk membendung
aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika tidak dikawal akan
memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi ini dalam jangka masa panjang
akan menjejaskan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk
memiliki rumah. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT
dikaji semula. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua
tahun, kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh
pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar lima
peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT tidak
dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak menjejaskan
pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal aktiviti spekulasi dalam
sektor hartanah.
Tuan
Yang di-Pertua,
FOKUS
KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
38.
Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang
lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai
komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula
strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai
komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor
swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar
sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan
tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini,
Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta
ringgit seperti berikut:
Pertama:
Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan
IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui
kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;
Kedua:
Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia
untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi
hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga:
Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta
pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan
dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi;
Keempat:
Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media
elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima:
Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju
komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30
juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development
Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;
Keenam:
Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru
daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan.
Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion
ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh:
Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012.
Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya
serta komuniti usahawan.
39.
Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru
dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan
patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan yang menarik.
Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses
pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank
Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada
kadar keuntungan.
40.
Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang meliputi kreativiti
dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan keselamatan produk,
pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu,
industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan
produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti,
inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan
mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis
dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.
Tuan
Yang di-Pertua,
41.
Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik
asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju
berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem
pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi,
mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor pendidikan akan
diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran,
peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk
semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42.
Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung
Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi
keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan,
pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut,
500 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,
100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Tuan
Yang di-Pertua,
43.
Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi
berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan mempastikan
akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar
masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33 ringgit 50
sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman,
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan
bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini,
sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan
rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.
Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta
ringgit.
44.
Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan
berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu,
Kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian
Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan berikut:
Pertama:
Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan
sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;
Kedua:
Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih
ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga:
Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan
berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah swasta,
sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah para pelajar,
agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
45.
Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama,
seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan
bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut. Bagi menggalakkan orang
ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini
diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua
tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan
pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam
tempoh masa yang singkat.
46.
Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu memantapkan
pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan
pemberian galakan cukai berikut:
Pertama:
Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam
melaksanakan program Internship;
Kedua:
Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga:
Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar
negara.
Tuan
Yang di-Pertua,
FOKUS
KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47.
Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program
transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar
supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan
ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan
akan melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:
Pertama:
Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi
perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran
pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan
kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara
atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan
dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan
dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua:
Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti
peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi
tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan oleh BSN secara
pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara
perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem; dan
Ketiga:
Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11
kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi,
penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta
ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan
penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta ringgit
yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
48.
Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar
secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan disediakan pada
tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit bagi Program Jalan
Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749 kilometer
jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar.
Di samping itu, 2.1 bilion ringgit disediakan bagi memperluas liputan bekalan
air bersih kepada 200 ribu rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan
elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.
49.
Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur Awam
(PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf infrastruktur asas
terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 500 juta
ringgit lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak,
pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor
Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Tuan
Yang di-Pertua,
50.
Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat
luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau
bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke pedalaman
Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, Kerajaan
telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk
penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan
perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100
ribu penduduk. Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada
negeri Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit.
51.
Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah beroperasi
melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya
telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan
gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di
Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan
400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara
berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52.
Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum
mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan bersetuju
menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik kemudahan bekalan
air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada. Kerajaan
juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan Air mengenakan tarif domestik
kepada perumahan pekerja estet berbanding dengan tarif industri yang dikenakan
sekarang. Kementerian Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras
dan memantau pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
Tuan
Yang di-Pertua,
53.
Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar
bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh negara
untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, BSN
akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan
yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil
serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit
bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54.
Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi
masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang
lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan 150 juta
ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME
Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas
sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk
membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai
1 Januari 2012.
55.
Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada
mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai
saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke
semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting
Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di seluruh
negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012,
Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas
termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan
pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh
yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk
mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan
dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan
perumahan baru.
Tuan
Yang di-Pertua,
FOKUS
KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56.
Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA
yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA
digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya
menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.
SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan
pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan
perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai
elemen-elemen berikut:
Pertama:
Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi
rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;
Kedua:
Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris
dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat
kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi
sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah
SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan
39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus
kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini,
yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen,
kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;
Ketiga:
Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya
perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu,
seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya
sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred
44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari
gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10
tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja.
Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada
kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut
diterima pakai; dan
Keempat:
Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012,
Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320
ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen
ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
57.
Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara.
Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati
pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013
nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua
peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau
pelarasan gaji.
58.
Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains
perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda
namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi
fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan
maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk
mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu,
adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak
dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos
gratuiti dan pembayaran pencen.
59.
Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih
boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu,
Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun
kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda
kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Tuan
Yang di-Pertua,
60.
Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha
memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah
pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang
berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan
diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
61.
Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada
penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara
separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan
5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran
falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan
peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada
kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana
muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit
bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan
para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik
dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62.
Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal
pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor
Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan
keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem
pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk
memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai.
Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi
bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi
pengutip hasil.
63.
Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah
menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan
dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini
meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak tiga
ribu ringgit secara one-off.
Tuan
Yang di-Pertua,
64.
Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September baru-baru
ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan,
pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara
kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan ‘Policing
in a modern and open society’. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era
insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita
mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi
merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan latihan yang
sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara
penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini,
peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan. Manakala sejumlah 442 juta ringgit
lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM.
Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis,
penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65.
Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran
bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan
Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai
kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa
memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi
perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan
tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin
kepada prestasi kerja yang positif di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan
akan memperuntukkan 500 juta ringgit di bawah program Army Care untuk menaik
taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
66.
Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah
berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya,
mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara
hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan
khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang
perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta
kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta
ringgit akan disediakan.
67.
Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka
yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah
menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis
khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara
semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special
Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police,
Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.
68.
Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan
membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak
sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti
mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang
membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan
ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan
akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap
bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir
62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu
meringankan kos sara hidup.
Tuan
Yang di-Pertua,
FOKUS
KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69.
Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya
bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan mengambil
langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang.
Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran
dan buah-buahan melalui langkah berikut:
Pertama:
Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat
strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah,
melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga
pertanian berpengetahuan dan terlatih;
Kedua:
Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian.
Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek
Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan
projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga:
Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian
berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat
dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan
Keempat:
Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan
mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan
dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan
terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta
ringgit disediakan.
Tuan
Yang di-Pertua,
70.
Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara
berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap
konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa
keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang
menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama
mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan
Nasional kini, apabila:
Pertama:
Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat
hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus
dari harga sebenar;
Kedua:
Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya bayar 2
ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga
sebenar;
Ketiga:
Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya
bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47
peratus dari harga sebenar; dan
Keempat:
Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya
bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari
harga sebenar.
Kesimpulannya,
keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion ringgit
dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin,
bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah
ini dinamakan negara kebajikan?
Tuan
yang di-Pertua,
71.
Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan
makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan
tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini meliputi:
Pertama:
Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar
1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga
sebenar;
Kedua:
Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1
ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga
sebenar; dan
Ketiga:
Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat
hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen
atau 45 peratus dari harga sebenar.
72.
Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik
berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009.
Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150 juta ringgit dan seramai 1 juta
isi rumah akan mendapat manfaat.
Untuk
makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah 33.2 bilion
ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.
Tuan
Yang di-Pertua,
73.
Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program
Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga
emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100
ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan dan
elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit sebulan.
KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu
meringankan beban sara hidup.
74.
Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos
dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:
Pertama:
Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250
jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga
sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan,
Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan
peruntukan 40 juta ringgit;
Kedua:
Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan
produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan
akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program
Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen
minyak seluruh negara; dan
Ketiga:
Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu
makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua ringgit bagi
sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700
pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000
pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan
menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta
melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.
Tuan
Yang di-Pertua,
75.
Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000
ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk
menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah
dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini boleh
dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula
Januari 2012.
76.
Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak
kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu
agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan
mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan
sederhana. PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di
tapak pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa
bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk
projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan berhampiran
stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk
dimajukan oleh PR1MA.
77.
Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta untuk
membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu, beberapa pemaju
swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik
berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan supaya proses pengagihan untuk
projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui sistem pengundian
terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di
Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
78.
Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights,
Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim
ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana
mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan
keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit
berbanding harga pasaran 220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi
pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di
bawah program ini.
79.
Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana pembeli akan
menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat disiapkan. Bagi
melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah
menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang
telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko
pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini
akan dilaksanakan bagi rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80.
Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan
berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program
Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit
rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di
peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR
dimiliki.
81.
Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan
berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka
yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di
rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB
akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra
Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan
dijual dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah,
Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta
ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.
82.
Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya
memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang
melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha
murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk memulihkan
1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan 40 juta ringgit
bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.
83.
Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Jumlah
ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat kepada lebih kurang 41 ribu
orang. Untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus
berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan
caruman KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang
diberi kepada warganegara.
84.
Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mereka
ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung semata-mata kepada hasil
tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah yang daif dan
kurang selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan
Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih
rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
Tuan
Yang di-Pertua
85.
Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat,
terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran lebih
selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan 15
bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi
perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf
hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta
menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah
baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik
1Malaysia.
Tuan
Yang di-Pertua,
86.
Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu
Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang
dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf dengan belanja
sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru dan
dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87.
Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL)
yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir 3,000
pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141
tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya
menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan
canggih dengan peruntukan 300 juta ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta
ringgit akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan
pesakit luar.
88.
Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas
berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak
kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan
telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah,
di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi
menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas
Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September
2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun
on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang
sama.
Tuan
Yang di-Pertua,
89.
Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan
golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat
1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka
kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan
memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman
5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima
tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan
dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi
kewangan terpilih mulai Januari 2012.
90.
Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan
ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)
untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan
masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing
secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi
dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, MARA akan
menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan
untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep
Management Buyout.
91.
Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi
Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu
akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera
termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta
ringgit bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Tuan
Yang di-Pertua,
92.
Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang
ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang
meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi
jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik perkhidmatan
teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian diberi bantuan
seperti berikut:
Pertama:
Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi
baru buatan tempatan;
Kedua:
Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang
berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;
Ketiga:
Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;
Keempat:
Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk
memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN
akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012; dan
Kelima:
Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang berusia
melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia
10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan diberikan. Bantuan ini
ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun
mulai 1 Januari 2012.
93.
Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi
perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej
negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik teksi
bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian
bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta
sewa persendirian.
Tuan
Yang di-Pertua,
94.
Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh atas
kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini, dianggarkan 80
peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai peguam untuk
membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman yang tinggi.
Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan setiap individu
yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud
tersebut, Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun
hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.
Tuan
Yang di-Pertua,
95.
Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah menyediakan
pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung Singgah untuk memberi
perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat ini menyediakan khidmat
bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan makanan, kaunseling serta
bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala
Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah
tersebut, 250 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan
diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan
Yang di-Pertua,
96.
Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan dan
pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya
30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi
melaksanakan dasar tersebut, antara yang utama, Kerajaan akan menjalankan
program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah
syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan
sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan
profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga akan
menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan program-program
latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10 juta ringgit.
97.
Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit kepada TEKUN.
Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan peruntukan ini
ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300 juta ringgit. Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk pembiayaan
pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut,
100 juta ringgit disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi
kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk mengurangkan
kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan mencadangkan surat cara
perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem.
98.
Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah kedua
tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah
membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian
Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah
melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan
satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai
bulan April hingga Mei 2010.
99.
Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi,
Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human
Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang
Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150 ringgit bagi
tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan
pada tahun 2012.
100.
Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah
hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur
melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.
Tuan
Yang di-Pertua,
101.
Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara.
Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan
peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini, Kerajaan akan
memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk
latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat
daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia
Negeri dan Majlis Belia Daerah.
102.
Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi, demi masa
depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah digembleng dan
dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan
bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga berpesan agar mendidik
anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita dahulu ingin dilayan sesuai
kehendak kita sebagai orang muda, begitu juga anak-anak zaman sekarang.
103.
Selaras dengan itu, Kerajaan juga sedar kekangan institusi yang ada kini dalam
mengeluarkan bantuan kepada idea-idea kreatif. Kita perlu bertanya, jika dengan
struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea orang-orang
seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik Wrights, Thomas
Edison boleh berjaya? Lantaran, berapa banyak idea dan karya telah dibakul
sampahkan yang berkemungkinan bernilai berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari
situ, Kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek
perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik
Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan 200 juta
ringgit.
104.
Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan disediakan untuk latihan dan
kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan melalui Program
Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth atau SAY
1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang
dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut
Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan,
pelatih akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka
mudah mendapat pekerjaan.
105.
Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi
menggalakkan aktiviti sukan ini, Kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang
futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan.
Memandangkan populariti sukan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15
juta ringgit bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu
Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama
sukan bola sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyediakan
kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu
limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
106.
Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton, skuasy, boling
tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga diberi tumpuan. Untuk
ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan 30 juta ringgit menjadikan
keseluruhan peruntukan 84 juta ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda
supaya mereka dapat bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat
antarabangsa.
107.
Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk mereka
mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan.
Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua warganegara berumur 60
tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua
hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik
Kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
108.
Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja
sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan
pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada KWSP dan insurans
hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini
dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan
rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang
dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama:
Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim
Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan
cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans
dirasionalkan;
Kedua:
Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan
Swasta; dan
Ketiga:
Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
109.
Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup
setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua
simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi meningkatkan simpanan
untuk hari tua, Kerajaan mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada
12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000
ringgit dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum
KWSP.
Tuan
Yang di-Pertua,
110.
Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan hanya berminat
dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion. Sesungguhnya tuduhan ini
amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam lipatan sejarah bahawa Kerajaan
Perikatanlah yang bertanggungjawab menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara
dan Luar Bandar lebih 50 tahun yang lalu dan mempelopori pembangunan secara
sistematik? Sebagai kesinambungan tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi
nafas baru kepada kawasan pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional,
rumah panjang dan kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau
RTP, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk membina
dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan kecil,
lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini akan
dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Tuan
Yang di-Pertua,
111.
Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun Kerajaan
membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian dalam pelbagai
aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk yang masih tinggal di
kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal, Kerajaan akan melaksanakan
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu
bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh
Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga
projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi
Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Tuan
Yang di-Pertua,
112.
Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam
menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara
one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama:
Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000
ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan
keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan
kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah
keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian
ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan
ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam
Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan
Pejabat Pos;
Kedua:
Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan
menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan
bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana,
atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga
atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya,
langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan
ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan
peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun
Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga:
Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar warganegara
Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi
serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi
manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 260 juta
ringgit.
Tuan
Yang di-Pertua,
113.
Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai Rukun Islam
kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya untuk menuju Baitullah
dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan menyedari, ramai golongan
berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran
haji kerana tidak mempunyai tabungan minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru,
bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan
dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui
penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300 ringgit. Melalui
kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi
pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.
Tuan
Yang di-Pertua,
114.
Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan
dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam konteks
ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun
membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada
penjawat awam dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115.
Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam
mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus
setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500
ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji
bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan
sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan
bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3
juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan
dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion ringgit.
116.
Menyedari tanggungjawab, tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen yang
semakin bertambah dari hari ke hari dan perlunya kita memupuk budaya politik
baru bersesuaian dengan Program Transformasi Politik yang saya umumkan
baru-baru ini, maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk mengkaji semula elaun
dan kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan syarat.....kedua-dua belah
pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang mestilah seiya sekata bersetuju.
Termasuklah yang bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti, elaun baru ini
akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
PENUTUP
Tuan
Yang di-Pertua,
117.
Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti Barisan
Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui Bajet 2012 pada
petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi akan meneruskan tradisi
para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara
di tempat yang teratas.
118.
Apa yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau apatah lagi
populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami sebagai Kerajaan yang
bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan gilang-gemilang buat semua
anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan bergemerlapan dengan harapan dan
kemakmuran bukannya masa depan suram dicengkam ketakutan.
119.
Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah al-Hasyr ayat 7 yang menyeru “agar harta
tidak hanya berlingkar dikalangan orang-orang berada antara kamu”, maka tidak
syak lagi, Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf
sosioekonomi rakyat. Ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah, sekalipun
menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di
desa.
120.
Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya dan rakan-rakan mulakan semenjak
April 2009, kini telah menempuh satu puncak penanda. Pastinya, sepanjang tempoh
30 bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melakar hala tuju jelas negara
dalam pusingan akhir bagi menempa wawasan kebangsaan.
121.
Ia tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip
meraikan kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam dengan merundingi
rakyat, proses penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan Program
Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi Politik
yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.
122.
Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca
pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan
dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas
untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan
negara.
123.
Seyogia diperingatkan bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya tanpa laluan
yang telah diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya sebermula Almarhum
Tunku Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun
Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia tidak mungkin jua terjelma tanpa
kestabilan politik yang dihidupkan oleh perkongsian kuasa melalui konsep
Barisan Nasional yang bitara. Yang lebih utama, ia tidak mungkin dizahirkan
tanpa sokongan padu rakyat.
124.
Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan perjalanan
kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura Malaysia yang maju,
makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang tidak
menentu.
125.
Sememangnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak tunduk kepada tekanan atau
apa-apa paksaan untuk mengambil jalan yang benar dan betul demi warga Malaysia.
Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya dibuat-buat atau
sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan
syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak. Perjuangan
kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.
126.
Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia
adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di bawah lembayung
Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat. Kepada Allah jua kita
berserah.
Tuan
Yang di-Pertua,
Saya
mohon mencadangkan.
Comments