Mohon batal nikah ‘isteri’ ketiga lelaki.


KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun berkahwin dengan ‘isteri’ ketiganya, bekas dekan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Bahrom Sanugi memfailkan permohonan membubarkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, apabila mengesyaki pengusaha butik kecantikan itu seorang lelaki. Permohonan itu dikemukakan Bahrom, 61, (plaintif) pada 17 Januari lalu, selepas mendapat arahan daripada Jabatan Agama Islam Daerah Gombak pada 23 November 2010 supaya berpisah sementara dengan Sri Wani Choo Abdullah, 37, (responden).

Peguam Bahrom, Muhammad Hafiz Ab Rashid, berkata anak guamnya membuat aduan ke Pejabat Agama apabila mengesyaki responden bukan seorang wanita sekitar 2010 selepas pasangan itu berkahwin di Songkla, Thailand pada 19 Ogos 2009 dengan mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah.

“Anak guam saya mempunyai bukti jelas berhubung jantina Sri Wani itu selepas menemui surat beranak yang menunjukkan beliau seorang lelaki. Malah dua nombor akhir pada kad pengenalannya adalah nombor ganjil sekali gus mengukuhkan bukti responden bukan wanita,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk memutuskan sama ada responden perlu menjalani ujian DNA bagi mengesahkan jantinanya selepas pihaknya mengemukakan permohonan itu pada 18 Januari 2012 mengikut Seksyen 85 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah 1998.

Bagaimanapun, Sri Wani berasal dari Bentong, Pahang yang memeluk Islam pada 2001 itu memfailkan bantahan terhadap permohonan terbabit tetapi tidak menyatakan alasan kukuh menerusi afidavit balasan kepada Bahrom sebaliknya beliau hanya mengemukakan jawapan mendakwa dirinya dianiayai.

Terdahulu, dalam prosiding di Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, Sri Wani hadir ke mahkamah berseorangan dengan memakai baju kurung dan berselendang ungu untuk memfailkan injunksi sebelah pihak terhadap dua isteri Bahrom kerana mendakwa difitnah.

Comments

Popular Posts